.
KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS (9 September 2011) - KEAMANAN : NIKMAT ALLAH YANG WAJIB DIPERTAHANKAN
KEAMANAN : NIKMAT ALLAH YANG WAJIB DIPERTAHANKAN
(9 September 2011/ 11 Syawal 1432H)
الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوْا الله أُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk ”Keamanan: Nikmat Allah Yang Wajib Dipertahankan”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Keamanan adalah nikmat kurniaan Allah SWT yang amat berharga. Dengan keamanan, agama dapat dipelihara, kemajuan dapat dijana dan keselamatan dapat dirasa. Dalam sejarah umat terdahulu, menyatakan Nabi Ibrahim AS semasa meneroka pembukaan Mekah telah mendoakan Mekah dikurniakan keamanan dan kemakmuran. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 126:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.
Ayat tersebut menegaskan bahawa keamanan adalah asas utama dalam menegakkan agama Allah SWT dan mengimarahkan sesebuah negara. Sesungguhnya betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda peperangan, persengketaan dan perpecahan. Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam. Justeru, Islam menolak gerakan-gerakan yang menghuru-harakan keamanan sesebuah negara termasuklah gerakan pelampau agama yang merosakkan keharmonian beragama di negara ini. Begitu juga, Islam juga menolak gerakan pelampau politik kepartian yang terlalu fanatik dengan kumpulan tertentu sehingga menentang perpaduan dan kesatuan umat Islam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Ahmad, yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama”.
Sidang Jumaat Sekalian,
Mimbar Jumaat mengingatkan bahawa akhir-akhir ini pelbagai jenayah berlaku dalam negara kita. Keamanan yang kita nikmati sekian lama, semakin hari semakin terancam. Pelbagai kes yang membabitkan kejadian jenayah, dadah, masalah sosial remaja dan seumpamanya terus meningkat. Negara kita juga berhadapan dengan beberapa isu yang menyentuh persoalan agama yang boleh menjejaskan keharmonian hidup.
Hal ini berlaku berpunca daripada sikap tidak besyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Umat Islam telah meninggalkan perintah Allah dalam kehidupan seharian. Tuntutan-tuntutan syarak dalam kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara telah diabaikan. Manakala tegahan syarak pula tidak segan silu dilanggari. Sebenarnya mereka yang membelakangi panduan agama akan menimbulkan pelbagai ancaman kepada
keselamatan negeri dan negara. Hal ini diperingatkan oleh Allah SWT dalam surah Al-A’raaf ayat 97-98, yang bermaksud:
“Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?. Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”
Sesungguhnya ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT akan mendatangkan kesusahan dan bencana kepada sesebuah negeri yang mana penduduknya mengingkari dan mengabaikan perintah agama. Telah runtuh tamadun umat-umat terdahulu seperti kaum Thamud, A’ad dan Firaun adalah kerana kekufuran dan kefasikan mereka sendiri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Antara perkara yang paling asas dalam usaha mengekalkan keamanan adalah dengan bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah dengan mematuhi dan melaksanakan semua perintah Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Begitu juga, sebagai sebuah negara majmuk, sikap toleransi dan menghormati hak-hak beragama dan kebudayaan semua kaum perlu dihayati. Justeru, semua pihak di negara kita tanpa mengenal anutan agama, rumpun bangsa dan kedudukan perlu patuh dan mengiktiraf hak masing-masing sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara. Elakkan daripada budaya hidup “enau dalam belukar” yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan nasib orang lain. Selain itu, keamanan juga dapat dipelihara melalui kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang tanggungjawab bersama memelihara keamanan melalui budaya mencegah perkara mungkar. Perlu difahami bahawa ruang lingkup yang menggugat keamanan amat luas dan musuh berada di mana-mana. Justeru, tidak mungkin pasukan keselamatan negara mampu menangani setiap ancaman tersebut. Sebab itulah kita mesti membantu pasukan keselamatan negara demi menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Ingatlah bahawa anugerah keamanan dan keharmonian negara mesti disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Dalam hal ini, Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah.
Bagi memastikan keamanan ini terpelihara sepanjang masa maka rakyat di negara ini khususnya umat Islam dituntut mengekalkan cara hidup bertolak ansur antara kita dengan mengambil kira kepentingan semua kaum sama ada dari segi agama, budaya, politik, ideologi dan lain-lain. Namun, umat Islam diingatkan agar tidak terpengaruh dengan aliran-aliran pemikiran baru yang boleh memecah-belahkan umat Islam dan memesongkan akidah seperti mereka yang menyamakan semua agama di dunia atau mereka yang terlalu bebas hingga tidak terikat dengan ajaran Islam.
Oleh itu, marilah kita sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat keamanan iaitu dengan meletakkan kepentingan aspek keselamatan melebihi daripada kepentingan peribadi atau kumpulan. Hanya dengan keamanan, kita dapat melakukan urusan kehidupan tanpa merasa takut, gerun dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 112 :
Maksudnya: “Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan”.
Oleh: Dr Juanda Jaya (9 september 2011/ 11 syawal 1432H)



